Sunday 22 January 2017

ANTARA KEBEBASAN BERSUARA DAN FITNAH DI SISI ISLAM

Agama Islam juga mengetengahkan beberapa hak asasi yang boleh dipraktikkan oleh seseorang Muslim . Sesungguhnya terdapat 6 kebebasan bersuara yang dianjurkan oleh Islam (Harun Mahmud Hashim, 2001) . Pertama adalah hak memberi nasihat, hak berunding dan bermesyuarat, hak membuat ijtihad, hak mengkritik orang lain, hak memberikan pendapat, hak untuk berpersatuan dan akhir sekali kebebasan beragama .
Namun begitu persoalan tentang kebebasan bersuara ini banyak menimbulkan kontroversi di kalangan orang yang beragama islam. Dari satu sudut, Islam dilihat sangat sempurna apabila membenarkan umatnya untuk menyuarakan pendapat masing-masing . Tetapi, apakah yang perlu dilakukan seandainya seorang yang menyuarakan pendapatnya telah didapati menghina ataupun menyatakan sesuatu terhadap agama Islam itu sendiri ataupun saudara sama-sama Islam ? Masih boleh lagikah dia dibela di bawah prinsip kebebasan bersuara ataupun dia perlu dihukum sebagai orang yang tergolong dalam golongan pemfitnah ?
Apabila wujud sesuatu kontroversi seperti penghinaan terhadap Islam dan Muslim, kaum Muslim akan berkempen untuk membawa golongan yang terlibat itu untuk dihadapkan ke mahkamah. Alasannya, mereka telah melancarkan fitnah. Namun bagi pihak yang dituduh, mereka berasakan yang mereka hanya mempraktikkan kebebasan bersuara yang dianjurkan oleh Islam . Perkara ini jugalah yang berlaku terhadap seorang ahli akademik Kuwait, Dr. Ahmad Al-Baghdadi yang dipenjarakan selama sebulan di Kuwait kerana didapati menulis dalam satu artikel bahawa Nabi Muhammad S.A.W. telah gagal dalam misinya di Makkah . (Abdelwahab El-Affendi, 1999) Sememang, dari sudut Al-Quran itu sendiri telah menekankan bahawa Nabi Muhammad tidak gagal dalam misinya di Makkah . Hakikatnya, baginda berhijrah ke Madinah atas perintah Allah bagi memastikan keselamatan baginda dan kaum Muslimin terjamin . Misinya tidak terhenti setakat itu kerana daripada Madinah sendiri baginda masih lagi berusaha untuk mendidik dan berdakwah kepada penduduk Makkah . Timbul satu lagi isu disini bahawa apakah satu kayu ukur ataupun pengukuran tertentu yang diperlukan bagi mengukur sesuatu pernyataan itu bagi menentukan sama ada ia wajar atau tidak untuk diperkatakan .
Ini adalah sesuatu yang sangat subjektif kerana kadangkala ada pihak yang merasakan perkataan atau ayat itu tidak berbentuk fitnah tetapi pihak lain beranggapan yang sedemikian . Persepsi sebegini ini banyak dipengaruhi secara psikologi, latar belakang dan pengetahuan seseorang individu yang terbabit .
Ini juga menyebabkan individu yang bukan beragama Islam sering mempunyai salah tanggapan bahawa agama Islam itu satu agama yang jumud, terhad dan tidak bebas . Sedangkan hakikatnya Islam itu merupakan satu agama yang mementingkan kebebasan bersuara seperti agama dan masyarakat lain . Cuma Islam sedikit unik apabila ia mementingkan kemakmuran dan keamanan dan dengan itu ia menolak segala macam bentuk penganiayaan kepada bukan sahaja kaum Muslimin tetapi juga bukan Muslimin .

Islam juga menekankan bahawa mana-mana kaumnya yang mengeluarkan perkataan bolehn dikategorikan sebagai fitnah sekiranya ia mendatangkan bencana kepada individu lain . Di dalam Al-Quran tidak disebut ‘perkataan’ yang hanya merujuk kepada perkataan lisan sahaja . Oleh itu, ia menunjukkan bahawa perkataan itu membawa maksud yang sangat luas merangkumi perkataan dari segi lisan mahupun bukan lisan . Oleh itu juga kajian tinjauan ini akan merungkai sama ada fitnah siber itu juga boleh dijatuhkan hukuman ataupun terangkum dalam golongan pemfitnah seperti yang terkandung dalam Al-Quran .


No comments:

Post a Comment